Pihak berkuasa meneliti semua aspek, termasuk kemungkinan berlakunya kecuaian atau pengabaian susulan kejadian. -Gambar hiasan
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya Ampang, Ampang, Selangor pada Ahad malam.Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.45 malam. Menurut Khairul, maklumat awal diterima daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran apartmen berkenaan."Siasatan awal mendapati mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lingkungan sembilan tahun disyaki terjatuh dari tingkat 13 apartmen berkenaan."Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Ampang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Khairul berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada bersendirian di rumah ketika kejadian."Bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada pukul 9 pagi Ahad."Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian atau pengabaian daripada pihak bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu," katanya.Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.