KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menjelaskan tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan program BUDI95 selepas sebahagian pengguna mendapati paparan kuota mereka menunjukkan 150 liter ketika kerja penyelenggaraan sistem pada malam Ahad.Dalam kenyataan pada Isnin, MOF memaklumkan paparan had bulanan sebanyak 150 liter berpunca daripada ralat teknikal yang berlaku semasa proses penyelenggaraan sistem BUDI95. Menurut kementerian itu, penyelenggaraan berkenaan dijalankan pada pukul 11 malam, sebelum ralat tersebut dikenal pasti dan diperbetulkan.MOF menjelaskan kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi semua pengguna yang layak termasuk untuk bulan Jun 2026.Tangkap layar hantaran yang tular di media sosial.Justeru, katanya, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan program berkenaan seperti yang tular di media sosial."Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026," menurut kenyataan itu.Dalam pada itu, MOF berkata pihaknya akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar disalurkan kepada golongan yang layak.Kementerian itu turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul susulan ralat teknikal berkenaan.Sebelum ini, tular di media sosial perkongsian beberapa pengguna yang mendakwa kuota BUDI95 mereka dipaparkan sebagai 150 liter sebelum kembali kepada kuota asal sebanyak 200 liter.