DALAM sesebuah negara, sistem percukaian memainkan peranan penting sebagai sumber utama pendapatan kerajaan.
Hasil kutipan cukai digunakan untuk membiayai pembangunan ekonomi, menyediakan perkhidmatan awam, serta memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Di Malaysia, dua sistem utama yang pernah dilaksanakan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Selepas pemansuhan GST pada tahun 2018, Malaysia kembali kepada SST versi baharu yang telah ditambah baik dengan pendekatan lebih bersasar dan berkeadilan.
Ketika kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, pelbagai persoalan yang dibangkitkan rakyat.
Antaranya, adakah SST benar-benar lebih baik untuk rakyat dan negara?
Pakar Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Menurut Pakar Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pelarasan kadar SST adalah bertujuan untuk memastikan hasil negara dapat ditingkatkan lagi namun pada masa yang sama masih tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
"Ini dapat dilihat apabila barangan asas masih lagi tidak dikenakan cukai SST dan hanya barangan mewah yang selalu dibeli oleh golongan T20 sahaja yang dikenakan kenaikan cukai SST.
"Ini selaras dengan objektif utama SST iaitu untuk menambahkan hasil negara supaya hasil tersebut dapat digunakan untuk membantu rakyat yang susah," ujarnya kepada mStar.
SST versi baharu juga mengambil kira keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Turut senada, penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba juga berpendapat SST lebih progresif berbanding GST kerana ia menekankan konsep 'guna lebih, bayar lebih'.
"SST tidak memberi ruang kepada yang kaya untuk mengelak cukai... yang kaya kena bayar lebih. Duit yang dibawa masuk dari luar negara tidak boleh elak cukai.
"Maka kerajaan akan dapat memungut lebih banyak cukai. Ianya boleh disalurkan kepada rakyat," ujarnya sambil memberi beberapa contoh inisiatif yang bermanfaat kepada rakyat hasil sebahagian daripada Reformasi Fiskal Madani ini, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penambaikan infrastruktur dan sebagainya.
Penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba.
Tidak sekadar mengambil berat keperluan golongan berpendapatan rendah serta sederhana, SST versi baharu juga mengambil kira keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sering terkesan dengan beban pematuhan cukai dan kos pentadbiran yang tinggi.
Menurut Pengasas Channel Financial Faiz, Faiz Azmi, yang banyak membuat perkongsian mengenai kewangan di laman sosial, SST ternyata berbeza dengan GST yang mengenakan tanggungjawab cukai secara seragam ke atas semua perniagaan tanpa mengira saiz dan kapasiti.
"SST ni dia ringkas… yang kena buat hanyalah pengilang dan penyedia perkhidmatan yang tertentu saja. Jadi kos untuk anda (PKS) patuh dengan SST adalah lebih rendah berbanding dengan GST," ujarnya.
Justeru ujar Faiz, ini bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan terhadap pemain industri kecil, malah memberi ruang kepada mereka untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan.
Pengasas Channel Financial Faiz, Faiz Azmi.
Selain itu beliau menambah, kelebihan SST adalah ia direka dengan pendekatan 'cukai progresif' yang mana ia tertakluk kepada mereka yang berbelanja barangan dan perkhidmatan mewah.
Berbanding GST yang mengenakan kadar tetap kepada semua tanpa mengambil kira tahap kemampuan, SST mengekang jurang ekonomi dan menyokong prinsip keadilan sosial.
"Maknanya barangan keperluan asas, tak kena. Ia tak macam GST yang semua kena. Tapi SST hanya sebahagian saja kena iaitu barangan mewah. Lebih mahal, makna lebih berkemampuan.
"Anda beli banyak barang mewah, anda kena servis premium, anda menyumbang lebih," ujarnya lagi.
Cukai SST terpakai kepada barangan mewah dan import.
Satu perkara penting mengenai sistem percukaian SST, ia diyakini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa menambah beban hutang yang berlebihan.
Justeru dalam landskap ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia memerlukan dasar kewangan yang berdaya tahan serta berhemah.
"Bila kerajaan dapat pungut cukai dengan lebih teratur maka pendapatan kerajaan akan lebih baik. Dalam jangka masa panjang kerajaan boleh kurangkan pinjaman luar negara sebab sudah ada pendapatan cukai yang lebih baik," tambah Dr Baayah.
Ibarat serampang dua mata, SST merupakan satu bentuk reformasi fiskal bijak, yang mana negara dapat menstabilkan ekonominya dan merancang untuk masa depan, tanpa membebankan rakyat dengan cukai menyeluruh dan dalam masa sama menyumbang kepada peningkatan hasil negara secara lestari.
Pendekatan ini bukan sahaja melindungi kuasa beli rakyat, malah membolehkan kerajaan melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan berorientasikan kesejahteraan jangka panjang.


