KESEMUA aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
"Setakat ini, pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bersetuju untuk memfailkan proses pelucutan aset tersebut dalam tempoh seminggu atau dua lagi, selepas kami mengemukakan afidavit berkaitan," katanya pada Rabu.
Menurut Azam, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada TPR untuk menentukan sebarang tindakan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bera itu susulan siasatan yang telah disempurnakan.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sita wang tunai RM170 juta, jongkong emas RM7 juta… Ada kaitan siasatan kes rasuah babitkan Ismail Sabri
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri kini suspek kes rasuah dan pengubahan wang haram
Aset yang bakal dilucutkan itu adalah seperti yang dipamerkan kepada media semasa sidang akhbar SPRM pada Mac lalu.
Ismail Sabri bagaimanapun masih mempunyai ruang dari segi undang-undang untuk mencabar permohonan pelucutan hak aset yang sedang diusahakan oleh SPRM.
"Namun terpulang kepada beliau sekiranya ingin mencabar permohonan itu nanti," katanya.
Azam berkata, buat masa ini belum ada pertuduhan jenayah akan dibuat terhadap Ismail Sabri.
"Berhubung sebarang pertuduhan jenayah belum lagi diputuskan dan menunggu daripada pihak TPR," katanya.
Ditanya mengenai tujuan SPRM mengambil keterangan bekas menantu Ismail Sabri, Datuk Jovian Mandagie, beliau berkata, pereka fesyen terbabit adalah saksi bagi siasatan kes berkenaan.


