suria

[V] Aslam enggan ulas isu cerai dan rujuk dua kali, kes belum diputus mahkamah… Marissa masih sebumbung dengan suami

SUAMI kepada pempengaruh, Marissa Dania Hakim iaitu Ahmad Aslam meminta orang ramai agar mendoakan urusan perkahwinan mereka berjalan lancar.

Ahmad Aslam atau Ahmad Aslam Saifun Kasyfun Nazir Rasyid, 27, ketika ditemui mStar bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu yang berlaku antara mereka.

“Saya tidak ada komen. Doakan yang baik-baik. Urusan hari ini berjalan lancar,” katanya kepada media.

Aslam enggan ulas lanjut kes cerai dan rujuk dia dengan Marissa.

Aslam dan Marissa hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosedur tuntutan pengesahan lafaz cerai dan permohonan pengesahan rujuk perkahwinan mereka.

Pasangan itu kemudian terus meninggalkan mahkamah selepas perbicaraan, manakala Marissa hanya tersenyum ketika diajukan pertanyaan oleh media.

Aslam sebelum ini dilaporkan pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah iaitu pada September 2024 dan Jun 2025.

Marissa atau Marissa Dania Hakim Mohamad Nurhakim, 21, dan suaminya bagaimanapun dikatakan kembali rujuk sebagai pasangan suami isteri dalam bulan sama bagi kedua-dua lafaz tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dua kali lafaz cerai luar mahkamah, Aslam dan Marissa kembali rujuk bulan sama… Proses pengesahan rumit kerana tiada sijil nikah

ARTIKEL BERKAITAN: Isu dua kali lafaz cerai dan rujuk, Abby Abadi titip nasihat buat Marissa... "Kesilapan bukan makna adik gagal"

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memberitahu permohonan berhubung status perkahwinan pasangan itu masih belum diputuskan.

“Mahkamah tak dapat nak putuskan lagi kerana terlalu banyak isu melibatkan hukum syarak dan undang-undang.

“Perkara tersebut perlu diulas dengan pandangan kitab dan para fuqaha,” ujarnya.

Aslam hanya mohon doakan yang baik-baik buat rumah tangganya.

Ammar Yaser pada masa sama enggan mengulas lanjut mengenai isu pasangan berkenaan sebagai menghormati prosedur mahkamah.

Beliau turut memaklumkan pihaknya dimaklumkan Marissa dan Aslam masih tinggal bersama.

“Isu cerai dan rujuk mesti ikut al-Quran dan sunnah. Allah dah tetapkan aturan dan perlu diikut.

Dua kali lafaz cerai luar mahkamah dilakukan Aslam namun dia dan Marissa kembali rujuk pada bulan yang sama.

“Contoh lafaz dalam sesuatu keadaan itu adakah ia sah atau tidak? Rujuk dalam keadaan tertentu, adakah sah atau tidak? Keadaan itu masih belum dapat dijawab oleh pihak-pihak.

“Mereka datang dan tinggal bersama. Apa yang berlaku disebaliknya saya tidak tahu,” jelasnya.

Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sebagai isteri kedua.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain