Pengurus pusat pengurusan mayat bertindak membawa keranda ke stesen minyak bagi membuktikan pihaknya memerlukan bahan api.
SEORANG pengurus pusat pengurusan mayat bertindak luar jangka dengan membawa keranda berisi jenazah ke sebuah stesen minyak selepas permintaannya untuk mendapatkan diesel ditolak.Menurut lelaki berusia 48 tahun itu, dia sebelum itu datang ke stesen minyak bagi mengisi diesel ke dalam tiga tong simpanan untuk digunakan di krematorium kuil tempatnya bekerja. Namun, pekerja stesen minyak menolak permintaannya kerana mematuhi arahan catuan bahan api yang dikuatkuasakan susulan krisis bekalan diesel.“Saya sudah beritahu minyak itu untuk kegunaan pembakaran mayat, tetapi mereka tetap tidak benarkan,” katanya.Kejadian berlaku di daerah Ban Bueng, Chon Buri di Thailand dan disiarkan secara langsung di Facebook pengurus mayat dikenali sebagai Preecha itu.Tidak berpuas hati, Preecha kembali ke lokasi sama pada keesokan hari dengan membawa keranda yang mengandungi jenazah di belakang trak pikap bersama tiga tong kosong berkapasiti 18 liter.Dia kemudian membuka keranda tersebut sebagai bukti bahawa diesel diperlukan segera bagi menjalankan proses kremasi, bukannya untuk menyimpan stok bahan api.Rakaman siaran langsung itu menunjukkan pekerja stesen minyak berbincang dengan pengurus sebelum akhirnya bersetuju membenarkan diesel diisi seperti diminta.“Ini kali pertama saya terpaksa buat begini. Saya faham mereka mahu elak orang sorok minyak, tetapi kami benar-benar perlukan diesel untuk urusan kremasi,” ujarnya. -Agensi