suria

17 tahun berlalu, budak viral ketuk baldi sambil nyanyi lagu Ukays kini muncul semula... Isteri siap ‘belanja’ gambar kahwin!

Fahmi kini bergelar bapa kepada dua cahaya mata.

SIAPA sangka, video spontan seorang budak lelaki menyanyikan lagu Bila Diri Disayangi dendangan kumpulan Ukays sekitar tahun 2009 kekal menjadi antara memori paling ikonik buat netizen Malaysia.

Kini selepas lebih sedekad berlalu, tuan punya badan iaitu Muhammad Fahmi Md Shahar, 26, mengakui terhibur apabila wajah zaman kanak-kanaknya kembali tular di aplikasi Threads.

Pengguna dengan nama Cshrry Sarbini berkongsi semula video berkenaan sambil bertanya tentang perkembangan terkini kanak-kanak di dalam rakaman berkenaan.

Hantaran tersebut meraih lebih 18,000 tanda suka, membuktikan impak video nostalgia itu masih berbisa.

Tanpa diduga, seorang wanita dikenali sebagai Nuralia Elisa, 23, tampil berkongsi perkembangan terkini kanak-kanak di dalam video tersebut, lantas mengundang rasa teruja netizen.

 

Hantaran tular yang mendapat perhatian ramai di Threads.

"Alhamdulillah, si 'penyanyi' tu dah jadi seorang suami dan kami dikurniakan dua orang anak lelaki," katanya sambil berkongsi sekeping foto perkahwinan mereka sebagai bukti.

Ketika dihubungi mStar, Fahmi berkata dia sendiri tidak menjangka masih ramai yang mengingati akan video berkenaan.

"Tak sangka masih ramai yang ingat tentang video tu. Sebelah saya yang ketuk baldi macam drum itu ialah abang saya sendiri, Farhan. Seorang lagi kanak-kanak perempuan dalam video itu pula adik nombor tiga.

"Sepupu saya yang rakam video itu dan muat naik di media sosial. Memang spontan saja masa kejadian itu," katanya kepada mStar.

Cerita Fahmi yang berasal dari Rompin, Pahang, minat terhadap nyanyian memang sudah ada sejak kecil malah lagu Bila Diri Disayangi adalah antara karya yang sering didengarnya sehingga liriknya dihafal tanpa sengaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya kumpul RM15,000 nak kahwin, pemuda hampa cinta tak dapat restu... Ibu kekasih anggap kerja ‘rider’ tiada masa depan

ARTIKEL BERKAITAN: Terjebak cinta suami orang, gadis diminta ‘pikat’ bakal madu kalau mahu kahwin... Kekasih tak sanggup lukakan hati isteri

Katanya, dia hanya mula menyedari video yang diambil sekitar 2009 itu mendapat perhatian luas ketika dia berada di bangku sekolah menengah, namun kini menjadi antara memori nostalgia ramai.

"Sejak kecil memang saya suka menyanyi. Lagu itu pula memang selalu saya dengar, jadi liriknya memang sudah hafal walaupun saya budak lagi.

"Masa sekolah menengah, baru saya sedar rakaman tu viral. Dulu memang rasa malu juga sebab dikenali melalui video lama itu, tapi sekarang lebih kepada rasa terharu sebab masih ramai yang ingat.

"Isteri saya juga pernah muat naik video saya menyanyi masa majlis perkahwinan kami pada Mei 2023. Video itu pun viral di TikTok sebab netizen masih dapat mengecam wajah saya," ujarnya.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan.

Lebih tidak disangka, isterinya sendiri pada awal perkenalan tidak mengetahui bahawa Fahmi merupakan individu yang menyanyi dalam video tular tersebut.

Hanya selepas kerap melihat orang berkongsi semula rakaman lama itu di media sosial, barulah isterinya sedar individu berkenaan ialah suaminya sendiri.

Kini bakat nyanyiannya nampaknya mula 'tumpah' kepada anak keduanya.

"Anak saya yang seorang itu memang suka menyanyi, dengar lagu dan berkaraoke. Keluarga termasuk isteri selalu mengusik dia sebab memang jelas nampak mewarisi minat bapanya.

Fahmi (kiri) memberi sokongan penuh sekiranya anak-anak mahu menceburi bidang nyanyian apabila sudah dewasa kelak.

"Kalau balik kampung dan kami sekeluarga jamming, kadang-kadang bawa anak sekali. Dia tengok saja, tapi lama-lama terikut juga.

"Kalau anak saya betul-betul minat ke arah nyanyian, saya tak ada masalah untuk ketengahkan dia,” ujar Fahmi yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Walaupun dikenali ramai kerana video nyanyiannya sejak kecil, Fahmi tidak pernah terfikir untuk serius dalam dunia hiburan kerana lebih selesa menjadikan muzik sebagai hobi semata-mata.

Katanya, dia kini bekerja di Kuantan Radiator Trading sebagai penghantar radiator kepada pelanggan dan lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

  • Fahmi terhibur apabila video lamanya menyanyi lagu Ukays kembali tular di Threads selepas lebih 15 tahun.
  • Rakaman spontan ketika dia berusia sembilan tahun itu meraih lebih 18,000 tanda suka dan 2,000 perkongsian semula.
  • Dulu dia malu dikenali ramai kerana video itu, namun kini lebih terharu kerana masih diingati.
  • Kini Fahmi sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan anak bongsunya turut minat menyanyi.
  • Dia memilih fokus pada keluarga dan kerja, manakala muzik kekal sebagai hobi bersama keluarga.

Menurut Fahmi, sehingga kini dia dan keluarganya masih aktif jamming di rumah di mana lagu-lagu Ukays tetap menjadi pilihan utama kerana minat itu sudah sebati sejak kecil.

"Menyanyi ini memang sekadar hobi dan saya suka berkaraoke dengan keluarga. Satu famili memang suka menyanyi, termasuk abah saya.

"Saya cuma tak sangka walaupun sudah lebih 17 tahun berlalu, masih ramai yang ingat saya hanya kerana video spontan itu. Mungkin zaman dulu tak mudah satu-satu video tu nak viral macam sekarang.

"Apa-apa pun saya cuma nak cakap terima kasih sebab orang ramai kenal saya dan beri kata-kata positif di ruangan komen setiap kali video saya tu viral kembali," katanya.

Artikel Lain