suria

Suami hentak kepala ke dinding, bantah isteri hamil diperiksa doktor lelaki

Tangkap layar lelaki menghentak kepala di dinding kerana tidak setuju isteri diperiksa doktor lelaki. -Gambar media sosial

SEORANG lelaki bertindak menghentak kepalanya sendiri ke dinding hospital kerana tidak bersetuju isterinya yang hamil diperiksa doktor lelaki.

Menurut saksi, lelaki berkenaan dilihat menjerit sambil meluahkan menangis, termasuk meluahkan hasrat mahu menceraikan isterinya serta mengambil nyawanya sendiri.

Rakaman video yang tular pada Sabtu memaparkan lelaki itu berlari sebelum menghentakkan kepalanya ke dinding ketika kakitangan hospital cuba menenangkannya. 

Dia kemudian rebah ke lantai sambil terus menjerit dalam keadaan emosi tidak terkawal.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah hospital di Changchun, China.

Petugas perubatan dilaporkan membawa kerusi roda dan tangki oksigen bagi membantu menenangkan lelaki tersebut.

Pihak hospital kemudian menjelaskan bahawa prosedur pemeriksaan dilakukan mengikut peraturan ditetapkan, selain turut dihadiri kakitangan perubatan wanita sepanjang pemeriksaan oleh doktor lelaki itu.

Seorang kakitangan hospital menegaskan insiden tersebut bukan pertikaian perubatan, sebaliknya situasi melibatkan reaksi emosi individu terbabit.

Selepas sesi rawatan selesai, wanita hamil berkenaan bersama keluarganya dilaporkan telah meninggalkan hospital, manakala pihak hospital tidak mendedahkan maklumat lanjut atas faktor privasi pesakit. -Agensi

 

Artikel Lain