suria

Hanya air mata mengalir di pipi, budak 6 tahun tak bersuara ketika tercekik epal... Mujur cikgu tadika bertindak pantas!

Ibu bapa dan penjaga perlu memantau makanan yang dimakan oleh kanak-kanak. -Gambar hiasan AI

SEORANG guru tadika bertindak pantas apabila menyedari murid lelakinya yang berusia enam tahun tercekik ketika makan tengah hari.

Nicholas “Nikko” Marks Jr. sedang menikmati makanan apabila gurunya, Megan Benham, menyedari kanak-kanak itu “mengalirkan air mata,” lapor stesen televisyen tempatan, KPLC.

Apabila dia menghampiri untuk memastikan keadaan murid itu, Benham mendapati Nikko duduk diam dalam keadaan tidak bernafas sebelum menyedari dia tercekik sepotong epal.

“Saya terus memeluknya dari belakang selepas menyedari dia sedang tercekik,” katanya mengimbau kejadian.

Menurut Benham, dia sendiri pernah berdepan kejadian serupa melibatkan anaknya sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki vegetarian mati tercekik selepas jamah hidangan daging, waris saman Qatar Airways lebih setengah juta

"Saya pernah lihat bagaimana suami memeluk anak dari belakang sewaktu dia tercekik. Jadi saya tiru cara sama," ujarnya.

Benham bertugas di Dolby Elementary School di Louisiana, Amerika Syarikat.

Menurut laporan KPLC, ketua pentadbir sekolah daerah, Jason VanMetre turut menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas Benham dalam situasi itu.

“Kami berterima kasih atas dedikasi semua kakitangan kami. Dalam situasi seperti ini, kehadiran mereka boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.

“Saya yakin ibu bapa pelajar ini amat bersyukur, begitu juga kami,” katanya. -Agensi.

 

Artikel Lain