suria

Syed Saddiq bebas, mahkamah ketepikan sabitan dan hukuman seleweng dana Armada

DIKEMASKINI

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dua lagi panel hakim adalah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. 

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Datuk Noorin, mahkamah mendapati bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh Syed Saddiq, tidak berasas.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq harap kebenaran ditegakkan selepas 5 tahun penantian

Menurutnya, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta itu dikeluarkan dari dana Armada.

"Memerintah atau mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana. Tindakan pengeluaran itu tidak sesuai dengan actus reus (perbuatan salah)," jelas Hakim Noorin.

Mahkamah juga berpandangan bahawa hakim perbicaraan terdahulu tidak meneliti isu pemilikan wang RM120,000 yang didakwa diseleweng.

"Kami mendapati wang itu adalah milik perayu sendiri dan bukan milik orang lain. Oleh itu, tiada kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (menyalahgunakan harta) berlaku," tambahnya.

Dalam isu dua pertuduhan pengubahan wang haram, mahkamah mendapati bahawa hakim terdahulu gagal memberi pertimbangan terhadap hujah pembelaan bahawa wang RM100,000 yang dipindahkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bukan hasil daripada aktiviti haram.

Seorang lagi hakim panel, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, menyatakan bahawa sabitan terhadap Syed Saddiq adalah tidak selamat berdasarkan dapatan mahkamah.

"Justeru, sabitan dan hukuman diketepikan," katanya.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan dan menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta dua sebatan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berdepan pertuduhan bersubahat menyalahgunakan RM1 juta dana Armada, menyeleweng RM120,000, serta memindahkan wang dipercayai hasil aktiviti haram sebanyak RM50,000 sebanyak dua kali dari akaun peribadi ke akaun ASB.

Artikel Lain