suria

Kes amang seksual, rogol: Bekas pengetua dijatuhi hukuman penjara 107 Tahun

Hukuman berat menanti pesalah rogol. -Gambar hiasan

SEORANG bekas pengetua dijatuhi hukuman penjara 107 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa selepas didapati bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Rosli Abd Rahman selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, warga emas berusia 60 tahun itu didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Rosli turut didakwa di bawah dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (1) (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) (a) dan lima tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a), 14 (c) dan 14 (d) AKSTKK 2017.

Bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (f), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Kesemua hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan iaitu pada Selasa.

Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukuman tertuduh sementara menunggu rayuan dan jaminan dinaikkan sebanyak RM40,000 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam,Abdul Rahman Razak.

Artikel Lain