TINDAKAN pemandu Toyota Hilux merempuh sebuah Perodua Axia dengan sengaja sebanyak tiga kali di Jalan Tun Razak di Johor Bahru, Johor pada Ahad 'makan diri' apabila dia diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pukul 3.10 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 63 tahun yang memandu Perodua Axia memperlahankan keretanya kerana terlepas simpang.
Suspek yang memandu di belakang mangsa kemudian memotong Perodua Axia secara agresif sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek kemudian merempuh kereta warga emas berkenaan dengan cara mengundurkan kenderaannya sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri,” katanya pada Selasa.
Raub memaklumkan, mangsa mengalami kerugian RM15,300 berikutan kerosakan yang dialami akibat kejadian tersebut.
“Semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat [Tonton Video] yang memaparkan kejadian berkenaan.
Video itu menunjukkan mangsa berada di luar keretanya ketika dirempuh tiga kali oleh pemandu Toyota Hilux.
Kejadian itu turut disaksikan seorang penghantar makanan.