suria

Pemandu Honda Stream maut, kemalangan libat tiga kenderaan

Keadaan kemalangan di Kilometer 60, Jalan Johor Bahru–Mersing, Johor.

SEORANG lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 60, Jalan Johor Bahru–Mersing, Johor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 malam Isnin itu, mangsa, Muhammad Safuan Mat Sari, 34, yang memandu kereta jenis Honda Stream disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Dua lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan terbabit dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Honda Stream, lori jenis Hino dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Siasatan mendapati kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke Kota Tinggi dan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Lori yang datang dari arah Kota Tinggi sempat mengelak ke kiri namun bahagian kanan kereta mangsa tetap bergesel dengan lori tersebut sebelum bertembung dengan Toyota Hilux yang berada di belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Yusof, kemalangan yang berlaku menyebabkan penumpang kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambahnya, pemandu Toyota Hilux berusia 34 tahun alami cedera parah di bahagian kepala dan sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu lori berusia 50 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu seramai 16 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan dua jentera.

Artikel Lain