suria

APMM kenal pasti sindiket iklan bawa masuk pendatang, selalu jadi musim perayaan

Akaun TikTok menawarkan perkhidmatan masuk ke Malaysia secara haram.

PASUKAN Maritim Malaysia (APMM) telah mengenal pasti pemilik akaun TikTok yang secara terang-terangan mempromosikan perkhidmatan masuk dan keluar Malaysia secara haram menerusi jalan laut.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, hasil risikan mendapati suspek terlibat berkemungkinan dari satu sindiket pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sama.

“Fokus sindiket (menyeludup Pati) ini adalah di negeri Johor dan Selangor. Johor seperti yang kita tahu ia paling hampir dengan Pulau Karimun dan Pulau Batam di sebelah sana (Indonesia).

ARTIKEL BERKAITAN: Apa dah jadi? Pengendali TikTok Indonesia iklan servis bawa pendatang ceroboh Malaysia! - “Jangan bimbang, kita sudah settle”

“Kalau lihat dua atau tiga tahun lepas, kita perketatkan kawasan di sebelah Selat Melaka dan mereka masuk melalui Timur. 

"Tapi selepas beberapa kejadian bot karam, mereka berpatah balik ke Selat Melaka,” katanya selepas sesi lawatan kapal peronda Japan Coast Guard (JCG) MIZUHO, di Klang, Selangor.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah atau nama sindiket terlibat dalam 'perkhidmatan' berkenaan.

Namun tegasnya, pemantauan dan risikan sentiasa dilakukan oleh APMM negeri yang terlibat itu.

Mengulas lanjut tentang iklan berkenaan, ujar Mohd Zawawi, promosi seumpama itu bukan sesuatu yang baharu, malah sering berlaku ketika, sebelum dan selepas musim perayaan.

“Selepas itu (musim perayaan), ia akan senyap. Bila musim perayaan tiba, ia (iklan Pati) tumbuh macam cendawan.

Mohd Zawawi (tiga dari kiri) bersama Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki (tengah), dan Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki pada sesi lawatan kapal Peronda JCG, MIZUHO.

Mohd Zawawi (tiga dari kiri) bersama Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki (tengah), dan Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki pada sesi lawatan kapal Peronda JCG, MIZUHO.

“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi menangani permasalahan itu. Hot spot kita tahu, kawasan yang selalu jadi laluan keluar masuk pendatang pun sudah dikenal pasti,” tegasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, hasil semakan mendapati promosi iklan berkenaan dilakukan melalui platform media sosial di luar negara.

“Jadi, untuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) ambil tindakan memang agak sukar dengan MCMC sendiri mempunyai limitasi untuk menyekat platform dari luar (negara).

“Bagaimanapun, (APMM) negeri-negeri terlibat sentiasa memantau berkaitan aktiviti tersebut,” katanya. 

mStar sebelum ini melaporkan terdapat akaun TikTok yang menawarkan perkhdimatan membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut dengan menggunakan bot laju.

Artikel Lain