suria

Boikot berlandaskan ilmu, bukan emosi - Dr Zulkifli

Dr Zulkifli berkata boikot yang digerakkan secara beremosi dan tidak diselidik kesan langsungnya boleh menjejaskan ekonomi umat Islam sendiri.

UMAT Islam diingatkan agar memboikot mana-mana jenama atau entiti yang berkaitan dengan isu Palestin berasaskan ilmu, bukan semata-mata mengikut emosi.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tindakan boikot tanpa pertimbangan ilmu boleh membawa kesan negatif kepada pihak yang tidak sepatutnya menjadi sasaran.

Menurutnya, dalam membuat keputusan tersebut, kejelasan dan kefahaman yang mendalam amat penting agar tidak berlaku ketidaktepatan yang akhirnya menzalimi pihak tidak berkaitan.

"Kita buat sesuatu perkara itu bukanlah tidak betul, tetapi kadang-kadang berlaku sipi dan tidak mengenai secara sebenarnya. 

"Kalau tidak dapat satu kejelasan dan gambaran yang nyata, boleh jadi kita membuat keputusan yang tidak mengenai sasaran sebenarnya,” katanya dalam satu temubual di sebuah stesen televisyen.

Dalam perbincangan tersebut, pengacara membangkitkan persoalan dalam kalangan warga maya mengenai kaitan tindakan boikot di dunia dengan ganjaran atau balasan di akhirat.

Menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli mengaitkannya dengan hadis sahih riwayat Bukhari mengenai keikhlasan niat.

Boikot yang dibuat secara membuta tuli boleh mengakibatkan kemudaratan ekonomi. -Gambar hiasan

Boikot yang dibuat secara membuta tuli boleh mengakibatkan kemudaratan ekonomi. -Gambar hiasan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkongsi kisah mengenai seorang lelaki yang bersedekah kepada pencuri, pelacur dan orang kaya iaitu tiga golongan yang bukan sasaran utama sedekah. 

Namun, kerana keikhlasan niatnya, Nabi Muhammad menyatakan tindakan itu tetap membawa kebaikan dan memberi kesan positif kepada penerima sedekah tersebut.

Dr Zulkifli turut mengingatkan boikot yang digerakkan secara beremosi dan tidak diselidiki kesan langsungnya boleh menjejaskan ekonomi umat Islam sendiri.

Ia termasuk para pekerja dan usahawan Muslim yang tidak terlibat secara langsung dengan isu yang diboikot.

"Ada boikot berdasarkan ilmu, ada juga yang berdasarkan emosi. Bila main dengan emosi, hukum itu lebih kepada rasa kasihan, bukan rasa kebenaran. 

"Contohnya, syarikat itu majoritinya pekerja Islam, malah ada yang pembayar zakat tegar serta banyak menyumbang kepada kebajikan,” katanya.

 

Tambahnya, umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana tindakan memboikot secara membuta tuli boleh mengakibatkan kemudaratan ekonomi kepada komuniti sendiri, sekaligus melemahkan kekuatan umat Islam di dalam negara.

Dr Zulkifli turut menekankan hukum boikot terbahagi kepada lima iaitu: wajib, sunat, harus, makruh dan haram. 

Tindakan memboikot sesama Muslim yang membantu Islam adalah haram, manakala boikot yang menepati syarat tertentu boleh menjadi wajib atau sunat.

"Jadi bila kita lihat, ia boleh jatuh dalam salah satu daripada lima hukum.

"Tahap permusuhan pihak itu terhadap Islam perlu dinilai sebelum menetapkan hukum terhadap tindakan boikot," ujarnya.

Sementara itu, tindakan memboikot syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan dan terlibat dengan rejim Zionis hendaklah berpandukan kepada beberapa parameter yang digariskan.

Antaranya matlamat boikot untuk menekan syarikat menukar polisi, visi, misi dan strategi mereka berkenaan Palestin dan menghentikan kezaliman Israel. 

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang bagi membincangkan mengenai kewajipan membela dan mempertahankan rakyat dan Palestin daripada pencerobohan Israel pada 24 hingga 26 September 2024.

Selain itu, tindakan boikot hendaklah dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria antaranya syarikat terlibat dalam aktiviti penjajahan dan membantu rejim Zionis seperti membekalkan perkakas komputer, membekalkan jentera atau peralatan bagi memusnahkan harta benda dan nyawa rakyat Palestin serta memberi pembiayaan kewangan. 

Jadi, orang ramai tidak perlulah was-was, ragu-ragu atau bimbang untuk berkunjung dan menjamu selera di premis-premis jenama tertentu yang diboikot kerana perusahaan ini juga menjadi sumber rezeki kepada ramai pekerja beragama Islam di negara ini. 

Malah, banyak daripada jenama ini dimiliki sepenuhnya oleh rakyat tempatan, tiada sebarang kaitan atau hubungan dengan Israel, membayar zakat dan aktif menyokong komuniti setempat.

Pelanggan juga tidak perlu bimbang pilihan mereka dihakimi kerana tindakan boikot yang sebenar perlu dibuat berdasarkan ilmu dan fakta, bukan sekadar mengikut emosi semata-mata.

 

Artikel Lain