suria

Bas bawa 25 penumpang terbabas di Genting Highlands

Sebuah bas terbabas dan melanggar tembok jalan di Kilometer 12 arah turun dari Genting Highlands, malam Sabtu. -Foto PDRM

SEBUAH bas yang membawa 25 penumpang terbabas dan melanggar tembok jalan di Kilometer 12 arah turun dari Genting Highlands, malam Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, siasatan awal mendapati bas tersebut dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Serdang.

ARTIKEL BERKAITAN: Bas dinaiki 36 pelancong terbabas rempuh pembahagi lebuh raya

"Apabila tiba di lokasi kejadian, ketika melalui selekoh, pemandu bas dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tembok jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu bas warga tempatan berusia 54 tahun serta dua penumpang, iaitu seorang warga tempatan berusia 74 tahun dan seorang lagi warga asing, mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.

Artikel Lain