suria

Budak sekolah sasaran utama CSAM, hadiah punca terjebak… Anak-anak perlu dididik perasaan malu

Kempen keselamatan siber dapat membantu mengurangkan isu SCAM kanak-kanak.

PERCAYA atau tidak, kanak-kanak seawal usia setahun sudah didedahkan dengan peranti seperti telefon pintar dan ‘tablet’. 

Ada antara mereka yang dibenarkan melayari kandungan media sosial dan YouTube tanpa pengawasan golongan dewasa termasuk ibu bapa. 

Pendedahan yang terlalu awal ini, cenderung membuatkan kanak-kanak mempunyai keinginan tinggi untuk menerokai kandungan lain yang terdapat di layar internet. 

Maka tidak hairanlah apabila ada yang terpengaruh dengan bahan tontonan terlarang yang bersifat keganasan mahupun seksual dan pornografi sehingga terjebak dalam gejala sosial berkenaan. 

Pendedahan tidak terkawal ini juga membuka ruang besar kepada risiko penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak atau CSAM (Child Sexual Abuse Material).

Bagi yang kurang arif tentang CSAM, ia merujuk kepada sebarang bentuk kandungan gambar, video, ilustrasi atau imej manipulasi digital yang menggambarkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pasti menafikan perkara ini kerana beranggapan telah mengawal anak-anak dengan sebaiknya dengan  menetapkan syarat dan peraturan ketika menggunakan gajet.

Malah ada yang turut membuat kawalan ketat menerusi beberapa aplikasi pemantauan yang wujud pada masa ini.

Namun sejauh mana ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan situasi merisaukan ini?

Mengulas mengenainya, Pakar Kaunseling dan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata, isu penyebaran dan penggunaan CSAM adalah satu bentuk eksploitasi seksual paling kejam terhadap kanak-kanak.

Ini kerana, ia memberi kesan jangka masa panjang kepada kesihatan mental, emosi dan sosial mangsa.

Pendedahan SCAM penting bagi membantu kanak-kanak mengetahui isu berkaitan.Pendedahan SCAM penting bagi membantu kanak-kanak mengetahui isu berkaitan.

“CSAM bukan sekadar 'bahan lucah', tetapi adalah bukti jenayah penderaan yang sebenar terhadap kanak-kanak.

“Hari ini, kemudahan teknologi, platform media sosial dan capaian tanpa sempadan telah mempercepat penyebaran CSAM secara rahsia dan tersembunyi.

“Lebih membimbangkan, terdapat peningkatan kes yang mana pelaku adalah dalam kalangan individu yang dipercayai termasuk ahli keluarga, guru, atau kenalan rapat mangsa,” jelasnya.

Menurut Fauziah, kesan kegiatan sumbang itu memberi kesan sangat mendalam sehingga ada mangsa mengalami kecelaruan identiti.

Bukan itu sahaja, mangsa terlibat cenderung mengalami ketakutan berpanjangan dan hilang rasa percaya terhadap orang dewasa selain merasakan diri tidak berguna.

“Ada yang mengalami post-traumatic stress disorder (PTSD), kemurungan, dan rasa malu melampau,” tambahnya yang turut meluahkan kebimbangan sekiranya terdapat mangsa yang tidak dirawat dengan sebaiknya.

Dari sudut kaunseling dan psikologi pula, dia berkata mangsa CSAM memerlukan intervensi awal melalui pendekatan terapi trauma, sokongan berterusan, dan perlindungan daripada reviktimisasi (mengalami semula penderaan, trauma, atau layanan tidak adil).

Kanak-kanak sekolah antara sasaran utama SCAM.

Kanak-kanak sekolah antara sasaran utama SCAM.

“Ibu bapa dan guru perlu didedahkan dengan tanda-tanda penderaan dan berani melaporkan sebarang kecurigaan yang dikesan pada anak mereka.

“Pihak berkuasa perlu memperkukuh sistem pelaporan, mempercepat siasatan, dan memperketat undang-undang berkaitan jenayah seksual digital,” tegasnya lagi.

Pada masa sama, Fauziah berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan sebaiknya di samping penyertaan media agar kesedaran awam berhubung isu ini dapat ditingkatkan.

Ia sekali gus dapat menolak sekeras-kerasnya normalisasi bahan seksual kanak-kanak dalam apa bentuk sekali pun.

Tambahnya, sebagai sebuah negara yang menyanjung nilai moral dan hak asasi, semua golongan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk melindungi masa depan kanak-kanak daripada menjadi mangsa keganasan seksual, baik secara fizikal mahupun dalam dunia maya.

Dalam pada itu, bekas Pegawai Penyiasat Jenayah D11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak Inspektor Nurhidayah Omar turut mengakui peranan masyarakat perlu lebih efektif supaya anak-anak dapat terus mengawal diri apabila berada di luar.

Ia berikutan sasaran utama golongan CSAM adalah kanak-kanak sekolah. 

Hal ini kerana, mereka mudah dan senang dipengaruhi menggunakan gajet mahupun menerusi platform media sosial atau permainan video. 

“Sebagai contoh platform permainan video atas talian seperti Roblox yang mempunyai ruangan komunikasi dan perkongsian gambar. 

“Secara asasnya pemangsa akan menawarkan pelbagai bentuk tawaran sama ada imbuhan berbentuk wang, telefon, dan lain-lain. 

“Ia bertujuan menarik perhatian sasaran untuk terus berkomunikasi sehingga mereka rasa tidak teragak-agak untuk berkongsi gambar dan video berunsur lucah atau bahagian tubuh badan,” jelasnya. 

Lebih membimbangkan apabila kebanyakan pemangsa mempunyai kepakaran untuk ‘grooming’ kanak-kanak. 

Dia yang kini berkhidmat di bahagian Perkhidmatan Gaji Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan IPK Perak turut mendedahkan kebanyakan mangsa CSAM akan mengalami kesan trauma yang tinggi sehingga ada yang terdorong untuk membunuh diri.

“Mangsa juga enggan bergaul dengan masyarakat dan merasakan bahawa diri mereka sudah tidak berguna. 

“Dalam beberapa kes, terdapat mangsa yang disisih dan dibuang keluarga kerana dianggap telah menjatuhkan maruah dan air muka keluarga,” kongsinya lagi. 

Bagi Nurhidayah, sekiranya mangsa CSAM dapat dikesan lebih awal, mereka boleh dipulihkan supaya tidak mengalami trauma mahupun mengalami ketagihan seks. 

Dari sudut perundangan pula, ujarnya, kerajaan telah mewujudkan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memberi keutamaan dan penekanan kepada kes-kes seksual melibatkan kanak-kanak. 

“Kerajaan memandang serius mengenai kejadian ini memandangkan kes amang seksual, pornografi kanak-kanak dan kesalahan-kesalahan seksual terhadap golongan itu semakin meningkat. 

 

“Pihak polis juga akan memastikan suspek untuk kes-kes berkaitan akan dirujuk ke bahagian pendakwaan dan mendapat sabitan yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan,” tegasnya. 

Bagi mengekangnya di peringkat awal, ujar beliau, PDRM menjalin kolaborasi bersama pihak sekolah dengan menempatkan pegawai kanan polis selaku ‘mentor’. 

Ia bertujuan untuk memastikan segala bentuk kesalahan-kesalahan tatatertib dan jenayah dapat dibanteras dari peringkat sekolah. 

Mereka yang terlibat berperanan untuk menguar-uarkan tentang isu-isu semasa dan peruntukan undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah agar mendapat kesedaran.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh masyarakat supaya sama-sama melibatkan diri dalam isu ini dan cakna dengan persekitaran sekiranya mengetahui terdapat perkara terlarang berlaku.

Aduan dan laporan boleh dibuat secara terus di balai polis berhampiran mahupun menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat pautan yang tidak diingini.

Artikel Lain