BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan DNAA itu pada prosiding, Jumaat.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.


