suria

Jenazah bapa, anak tertindih lengan disemadi dalam satu liang lahad

Allahyarham Nurulefendy Ibrahim (kiri) dan anaknya selamat disemadi pada Khamis malam.

JENAZAH Allahyarham Nurulefendy Ibrahim yang maut akibat serangan jantung dan tertindih bayi lelakinya hingga meninggal dunia selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Duyong, Melaka pada Khamis malam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Nurulefendy, 35 dan anak bongsunya, Nur Muhammad Danial, berusia tiga bulan disolatkan di kediaman mereka sebelum dibawa ke tanah perkuburan sekitar pukul 8.20 malam.

Dianggarkan 100 orang termasuk ahli kariah, waris dan kenalan terdekat hadir mengiringi upacara pengebumian yang selesai sekitar pukul 9 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang dua serentak... Suami maut akibat serangan jantung, bayi 3 bulan pula sesak nafas tertindih lengan bapa

Tragedi menyayat hati itu berlaku pada hari pertama isteri Nurulefendy, Azura Abd Malek Yaher kembali bertugas selepas cuti bersalin selama tiga bulan.

Azura sempat menghantar dua lagi anak mereka yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ke sekolah sebelum memulakan tugas pada hari kejadian.

Namun, ketika pulang ke rumah untuk mengambil bayi mereka bagi mendapatkan suntikan di klinik, Azura dikejutkan dengan kematian suaminya dipercayai akibat serangan jantung.

Lebih menyayat hati, bayi lelaki mereka turut disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas tertindih lengan suami yang tidak sedarkan diri.

 

 

Artikel Lain