SEORANG wanita tidak dapat menahan sebak sejurus mengetahui anak dan suaminya meninggal dunia di rumah mereka di Jalan Perigi Hang Tuah di Melaka, pada Khamis.
Lebih menyayat hati apabila, dia baru sahaja memulakan tugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selepas tamat tempoh cuti bersalin selama 98 hari.
Menurut Azura Abdul Malik, 40, dia menyedari kejadian berkenaan selepas pulang ke rumahnya pada pukul 9.30 pagi bagi membawa anak bongsu terbabit mendapatkan suntikan bayi di klinik kesihatan.
Setibanya di rumah, dia melihat suaminya Nurul Effendy Ibrahim, 35, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan lengannya melitupi wajah bayinya, Muhammad Nur Daniel yang baru berusia tiga bulan.
"Saya terkejut sebab tak ada sebarang kesan darah, apabila masuk ke dalam bilik tidur saya lihat kedua-dua mereka berada di atas katil tidak sedarkan diri.
"Ketika itu saya mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya. Masa kejadian bayi saya masih bernyawa, namun keadaannya begitu lemah," katanya menurut laporan Sinar Harian.
Panik dengan situasi berkenaan, dia kemudiannya bergegas ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.
Namun malangnya anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd Supian Md. Dali berkata, panggilan kecemasan diterima daripada pihak hospital pada pukul 9.58 pagi.
Menurutnya, mereka dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30-an telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya telah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.