suria

[V] Pemandu marah polis, bebel panjang gara-gara berhenti mengejut tepi jalan - “Lampu brek kamu tak menyala”

Tangkap layar video tular dalam kejadian yang berlaku pada Ahad.

SEBUAH rakaman video tular di media sosial memperlihatkan seorang pengguna jalan raya memarahi anggota polis di Jalan Austin Heights 7/4, Johor Bahru pada Ahad lalu.

Pada awalnya pemandu terbabit menekan hon sebelum dia memberhentikan kenderaannya di sebelah kereta peronda polis jenis Proton Waja.

Dalam rakaman berkenaan [Tonton Video], pemandu terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan polis berhenti secara mengejut ketika dia mengekori dari belakang.

"Kenapa kamu tekan brek? Lampu brek tak menyala, kamu tak tahu ke? Wah ini macam (berhenti tepi jalan) boleh ke?

"Tengok, awak tak ada lampu brek. Tak boleh macam ni terus brek.

"Kamu ada (mengaku buat) salah atau tidak?" katanya kepada dua anggota polis yang berada dalam kenderaan tersebut.

Susulan tularnya video tersebut, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat tampil mengeluarkan kenyataan pada Rabu.

Raub berkata hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku sekitar pukul 4 pagi pada Ahad lalu.

Ketika itu, dua anggota dari Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Taman Setia Indah sedang menjalankan rondaan menggunakan kenderaan rasmi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ketika rondaan dijalankan, kereta tersebut mengalami masalah teknikal membabitkan sistem pendawaian lampu hadapan, belakang serta lampu mata arah (beacon light), menyebabkan semua lampu gagal berfungsi.

"Akibat masalah teknikal itu, kereta Proton Waja milik PDRM tidak dapat digerakkan dan anggota terlibat kemudiannya berhenti di lokasi sesuai bagi menunggu bantuan daripada bahagian penyelenggaraan," ujarnya dalam kenyataan.

Tambah beliau, ketika menunggu bantuan tiba, seorang lelaki menghampiri dan mempersoalkan kehadiran mereka, sebelum bertindak melakukan provokasi terhadap anggota bertugas.

"Anggota polis kemudiannya memberikan penjelasan mengenai kerosakan kenderaan, namun lelaki berkenaan tetap bertegas sebelum meninggalkan lokasi," katanya.

Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut, namun pihak polis memandang serius terhadap penularan video itu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan imej dan kredibiliti anggota bertugas.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Artikel Lain