PASANGAN suami isteri direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan fizikal seorang kanak-kanak perempuan di Arau, Perlis.
Difahamkan, mangsa yang berusia 11 tahun didakwa didera sejak dua tahun lalu oleh kedua-dua ibu bapa kandungnya.
Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar pukul 10.40 malam Rabu daripada seorang pegawai pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis yang sebelum itu pergi ke sebuah rumah di Taman Desa Saujana di Arau.
“Pegawai berkenaan menerima aduan awam mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki telah didera secara fizikal oleh ibu kandungnya.
“Pihak JKM kemudian menyelamatkan kanak-kanak itu dengan menempatkannya di tempat selamat di Rumah Kanak-Kanak Arau Perlis.
"Satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian itu.
“Dalam kes berkenaan, mangsa berusia 11 tahun adalah anak kandung kepada suspek yang disyaki mengalami penderaan fizikal pada beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Ahmad Mohsin, siasatan awal mendapati kanak-kanak yang bersekolah di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Kangar itu tinggal bersama dengan suspek di perumahan berkenaan.
Tambahnya, penderaan disyaki dilakukan pasangan itu terhadap mangsa sejak dua tahun lalu.
Manakala, kejadian paling terbaharu adalah dilaporkan semalam sekitar jam 12.30 tengah hari apabila mangsa dipukul menggunakan sebatang rotan di bahagian belakang badannya oleh bapanya kerana dikatakan berkelakuan nakal.
“Siasatan lanjut polis mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, badan, kaki dan tangan.
"Dia kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di hospital itu mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bibir, dada, rusuk, belakang badan, lengan dan betis disyaki terkena objek tumpul dan air panas.
“Kecederaan yang dialami juga disahkan adalah kecederaan baharu dan lama dan mangsa dibawa ke Unit Pediatrik hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
“Kanak-kanak itu diserahkan kepada JKM Negeri Perlis menggunakan kuasa pelindung berdasarkan Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.