suria

Bas dinaiki 36 pelancong terbabas rempuh pembahagi lebuh raya

Keadaan bas yang merempuh pembahagi jalan di lebuh raya berdekatan Tanjung Malim, Perak. -Foto Polis

SERAMAI 36 pelancong warga India dan seorang pemandu warga tempatan terselamat selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Kejadian itu berlaku di Kilometer 396.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Tanjung Malim, Perak pada Khamis petang.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata kejadian berlaku pada pukul 3.39 petang dan semua mangsa termasuk pemandu berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kanan jalan.

"Bas tersebut kemudiannya melanggar penghadang pembahagi jalan sebelum masuk ke dalam longkang di bahagian kanan lebuh raya," katanya.

Mohd Hasni berkata bas persiaran itu membawa 32 lelaki dan empat wanita, kesemuanya warga India, yang dipercayai dalam perjalanan dari Hotel Regalia, Kuala Lumpur ke Hotel Weil di Ipoh.

"Semua penumpang telah dipindahkan ke sebuah bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," katanya.

 

Artikel Lain