SEORANG guru wanita ditahan polis selepas disyaki memukul dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam satu sesi latihan bola jaring di sebuah sekolah di Kota Kuala Muda, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada waris mangsa berhubung kejadian yang berlaku pada Khamis.
Bagaimanapun, salah satu laporan berkaitan guru berusia 28 tahun itu telah ditarik balik oleh keluarga terbabit.
"Guru tersebut telah ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai guru terbabit menangis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa.
Difahamkan, kedua-dua pelajar terbabit mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, dipercayai akibat dirotan ketika sesi latihan sukan di sekolah.
Mereka dikatakan gagal menguasai teknik permainan bola jaring yang diadakan sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat daerah minggu hadapan.
Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda untuk mendapatkan rawatan sebelum laporan polis dibuat oleh waris.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.