AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan harapan agar kebenaran akan ditegakkan oleh Mahkamah Rayuan, setelah menunggu hampir lima tahun bagi keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapinya.
Bercakap kepada pihak media di Istana Kehakiman pada Rabu, beliau menyatakan harapan agar namanya dapat dibersihkan.
"Proses kehakiman yang dihormati adalah landasan terbaik untuk membersihkan nama seseorang.
"Dalam arena politik ini, saya hanyalah seorang pemain kecil, namun dengan sokongan dan dorongan daripada anda semua, saya mampu kekal tabah dalam menghadapi segala cabaran mendatang," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah tiba di mahkamah ikuti keputusan Syed Saddiq, tiada komen dapat diberikan
ARTIKEL BERKAITAN: Bebas atau sebaliknya, keputusan rayuan Syed Saddiq bakal diketahui 25 Jun ini
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, ahli keluarga, kepimpinan parti, dan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan semangat serta menitipkan doa buatnya.
Berpakaian sut hitam, Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membacakan Surah Yassin di platform media sosial sejak beberapa hari lalu bagi mendoakan yang terbaik buatnya.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan keputusan yang tidak memihak kepadanya, beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan mahkamah.
Turut kelihatan hadir di Istana Kehakiman adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pelakon terkenal, Bella Astillah.
Syed Saddiq, 33, kini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Menerusi keputusan yang dibuat pada 9 November 2023, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Sekiranya rayuan itu berjaya, Syed Saddiq akan dibebaskan namun pihak pendakwaan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
Sekiranya keputusan rayuan tidak memihak kepadanya, Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang membuat rayuan terakhir di peringkat Mahkamah Persekutuan. -The Star