SEORANG lelaki nekad mengambil tindakan drastik membakar dirinya sendiri di luar rumah selepas tidak dapat menerima kenyataan bahawa isterinya mahu menuntut cerai dalam kejadian pada Isnin.Pihak polis yang menerima panggilan kecemasan berhubung insiden ngeri itu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah pun berada dalam keadaan terbakar teruk.Mangsa yang baru berusia 26 tahun itu segera dikejarkan ke Hospital Babu Jagjivan Ram Memorial di Delhi Utara, India, namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.Susulan kejadian tersebut, pihak polis tampil menjelaskan bahawa dakwaan awal yang tular mengaitkan isteri dan ibu mentua mangsa sebagai dalang yang membakar lelaki itu adalah tidak benar sama sekali.Hasil siasatan awal mendapati pasangan tersebut sememangnya sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga yang berpanjangan sehingga mencetuskan pertengkaran hebat.Pada hari kejadian, lelaki itu didakwa datang ke kediaman isterinya sebelum berlaku lagi satu pertelingkahan antara mereka. Selepas si isteri menegaskan keputusan untuk tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan mereka, mangsa dipercayai mula mengugut untuk membunuh diri sebelum bertindak luar kawalan.Pihak berkuasa sekali lagi menegaskan dan menafikan spekulasi liar yang tersebar di media tempatan kononnya wanita dan ibu mentuanya terlibat dalam insiden tragis tersebut.Pihak polis turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih giat dijalankan bagi menentukan urutan kejadian sebenar serta mengesahkan semua maklumat yang diterima. -Agensi