KES insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya, yang berlaku 1 April lalu, diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) buat masa ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini kerana siasatan yang dijalankan tidak menemui sebarang unsur yang menunjukkan terdapat unsur jenayah atau sabotaj.
Bagaimanapn ujarnya, polis bersedia membuka semula siasatan pada bila-bila masa sekiranya menerima sebarang keterangan baharu berkaitan insiden tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanah lemah, tak cukup kuat punca letupan Putra Heights
"Sekiranya ada bukti ataupun keterangan baru yang boleh membantu pihak polis, kita akan buka semula siasatan itu," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Hussein dalam pada itu menambah, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menyalurkannya ke pihak polis.
Pada Isnin, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menyatakan bahawa ketidakstabilan tanah menjadi punca berlakunya insiden letupan di saluran paip utama penyimpanan gas milik Petronas itu.
Dalam insiden yang berlaku pada pagi 1 April lalu, sebanyak 219 unit rumah terjejas dalam insiden tersebut, melibatkan 81 unit yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, dan 138 unit yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.


