SUASANA di sebuah pasar raya kecoh apabila dua pelanggan bergaduh ketika sedang beratur di hadapan kaunter pembayaran.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada petang Ahad di Kuching, Sarawak.
Menerusi video tular, kelihatan seorang lelaki berbaju hitam yang sedang terduduk dipukul beberapa kali di bahagian kepala oleh pengunjung lain yang memakai baju merah jambu.
Pergaduhan antara kedua-dua mereka cuba dileraikan seorang wanita namun usahanya tidak berjaya.
Situasi berlarutan apabila lelaki baju hitam kembali berdiri dan membalas pukulan sehingga terdapat seorang lagi pengunjung lelaki cuba masuk campur.
Menurut seorang pengguna Facebook yang memuat naik video berkenaan, Esther Jong, pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham semasa kedua-dua pengunjung terbabit ingin menebus baucar ahli.
Ujarnya, kejadian itu diceritakan sendiri oleh salah seorang pengunjung yang turut berada di lokasi kejadian menerusi ruangan komen di Facebook.
"Pakcik baju pink asalnya berdiri di belakang pelanggan A, tetapi dia keluar sekejap daripada barisan untuk tanya sesuatu kepada staf.
"Kemudian datang seorang pakcik baju hitam berbaris di belakang pelanggan A tadi. Apabila pakcik baju pink kembali, dia terus berbaris di depan pakcik baju hitam.
"Jadi pakcik baju hitam pun menuduhnya memotong barisan dan menegurnya untuk berbaris di belakang," ujarnya menceritakan semula tentang punca pergaduhan.
Susulan itu kebanyakan warga maya mempersoalkan kenapa 'pelanggan A' yang berada paling dekat dengan kedua-dua pengunjung terbabit tidak menjelaskan situasi sebenar sebelum pergaduhan berlaku.
"Pelanggan A tu buat apa? Kenapa tak maklumkan kalau dah tahu kebenaran.
"Kalau saya, saya akan pesan supaya tolong jagakan sekejap pada orang depan dan orang belakang saya.
"Lambat pula pengawal datang nak leraikan, penyakit orang sekarang ni... semua cepat marah," demikian reaksi warga maya.


