suria

Tak pakai baju, tangan kiri pegang parang... Pekerja kedai besi buruk ditemukan mati selepas bergaduh dengan rakan

Bedah siasat lazimnya dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian. -Gambar hiasan

PERGADUHAN antara dua rakan sekerja berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya maut dipercayai dibunuh, dalam satu kejadian di sebuah kedai besi buruk di Kampung Batu, Off Jalan Ipoh, dekat Kuala Lumpur pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu daripada pemilik premis pada pukul 11.33 malam.

Ujarnya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman kemudian tiba ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru tiba dari Kelantan, lelaki maut ditikam rakan serumah… Pisau tertusuk di dada kiri

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dipercayai telah bertengkar dengan seorang lelaki warga Myanmar ketika berada dalam keadaan mabuk.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang sebilah parang di tangan kirinya.

"Terdapat kesan kecederaan pada bahu kanan, kepala bahagian kiri, leher, dagu kiri serta kesan lubang pada bahu mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dan suspek dipercayai minum minuman keras bersama di premis berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.

"Suspek telah melarikan diri selepas insiden dan kita sedang giat mengesan lelaki tersebut," ujarnya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain