suria

Bayar RM300 jika ingkar... Pemandu dan penumpang bas ekspres, persiaran wajib pakai tali pinggang keledar mulai Selasa

Saman RM300 akan dikenakan buat individu yang ingkar memakai tali pinggang. -Gambar hiasan

PEMANDU dan penumpang bas ekspres serta persiaran wajib memakai tali pinggang keledar mulai 1 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan itu melibatkan bas yang dibuat mulai 1 Januari 2020 kerana ia diwartakan untuk pemasangan tali pinggang keledar.

Tambahnya, bagi bas yang dibuat sebelum 2020, akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar tersebut.

“Jika gagal mematuhi arahan berkenaan, pemandu, penumpang dan pengendali syarikat akan dikenakan notis saman sebanyak RM300.

“Pemakaian tali pinggang keledar ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya pada Ahad.

Aedy Fadly memberitahu, jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil untuk memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang.

"Namun kita akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya," katanya.

Katanya, JPJ sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pengendali syarikat bas bagi memaklumkan perkara berkenaan.

"Kita sudah mengeluarkan garis panduan kepada mereka supaya arahan yang diterima jelas dan selepas ini kita tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan.

"Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan," katanya.

 

Artikel Lain