ANAK kepada lelaki yang dihalau daripada beriktikaf di Musolla Halaman 11 di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Selangor meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang menimpa bapanya.
Dia yang juga pendakwah dan bekas peserta Pencetus Ummah (PU) musim ketiga, Azhar Hilmi berkata tindakan wanita yang menghalau bapanya dianggap tidak beradab terhadap warga emas di rumah Allah.
"Seawal pagi, abah ke surau untuk solat Subuh. Lepas solat, macam biasa abah akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu waktu Dhuha.
"Dah selesai solat sunat Dhuha, baru dia akan gerak balik.
"Tapi pagi itu, datang seorang wanita dipercayai pihak pengurusan dan terus halau abah keluar dari surau," kongsinya di Facebook.
Azhar berkata apabila melihat video yang tular, dia geram dan ia sangat menyakitkan hati.
ARTIKEL BERKAITAN: JMB Halaman 11 bersuara, hairan video lama tersebar - “Pakcik tu pun datang hari-hari”
ARTIKEL BERKAITAN: AJK Musolla Halaman 11 nafi guna duit yuran penduduk bayar bil utiliti - “Pakcik tu salah seorang penyumbang”
"Dia siap rakam video abah secara terbuka seolah-olah abah ni buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat.
"Sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau?
"Abah saya bukan tidur dalam surau. Bukan buat bising. Bukan ganggu sesiapa. Dia cuma duduk diam, baca al-Quran, tunggu waktu Dhuha lepas tu nak balik.
"Kalau beginilah layanan kita terhadap orang tua yang datang ke rumah Allah, apa yang tinggal pada kita sebagai masyarakat?," katanya.
Terdahulu tular video di media sosial [Tonton Video] tentang seorang wanita yang dipercayai pengerusi JMB Halaman 11 menghalau jemaah yang sedang beiktikaf dengan membaca al-Quran di dalam surau.
Tindakan itu dibuat dengan alasan lelaki berkenaan bukan penduduk di kawasan perumahan terbabit.
Wanita itu mendakwa bahawa bayaran semua bil utiliti rumah ibadat itu menggunakan wang daripada yuran penyelenggaraan penduduk.
Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 menafikan dakwaan tersebut dengan memaklumkan segala kos operasi berkaitan pengurusan surau menggunakan wang sumbangan orang ramai.


