suria

JMB Halaman 11 bersuara, hairan video lama tersebar - “Pakcik tu pun datang hari-hari”

Seorang jemaah bukan penduduk perumahan dihalau ketika sedang beiktikaf.

SETELAH teruk dikecam ramai berhubung isu jemaah surau dihalau, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Halaman 11 di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor akhirnya bersuara.

Bercakap kepada mStar, wakil JMB yang enggan mendedahkan identiti berkata isu berkenaan sudah lama diselesaikan dengan baik.

Walau bagaimanapun dia hairan mengapa video berkenaan sengaja dimuat naik di media sosial sedangkan ia berlaku tiga bulan lalu.

 "Itu video lama, perkara tu dah diselesaikan secara berhemah antara pihak yang terlibat. Tapi saya tidak tahu kenapa video itu dikongsi kepada umum.

"Pihak surau pun sudah mengemukakan permohonan meminta JMB membenarkan orang luar masuk. Kita juga sudah memanjangkan permohonan mereka kepada Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat.

"Kami masih menunggu surat daripada pejabat majlis, namunn begitu kami tetap membenarkan orang luar untuk masuk ke surau," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita halau pakcik sedang iktikaf dalam surau, ungkit penduduk bayar bil utiliti

ARTIKEL BERKAITAN: AJK Musolla Halaman 11 nafi guna duit yuran penduduk bayar bil utiliti - “Pakcik tu salah seorang penyumbang”

Tambah individu itu, JMB mengulangi pendirian bahawa perkara itu sudah diselesaikan dengan sebaiknya.

"Pakcik tu pun datang hari-hari, memang kami tiada halangan cuma sama seperti perumahan yang berpagar lain setiap kemasukan perlu berdaftar.

"Nak datang solat tiada masalah, cuma daftar di pintu pengawal sahaja seperti mana kita memasuki kawasan perumahan lain," katanya.

Terdahulu tular video di media sosial [Tonton Video] tentang seorang wanita yang dipercayai pengerusi JMB Halaman 11 menghalau jemaah yang sedang beiktikaf dengan membaca al-Quran di dalam surau.

Tindakan itu dibuat dengan alasan lelaki berkenaan bukan penduduk di kawasan perumahan terbabit.

Wanita itu mendakwa bahawa bayaran semua bil utiliti rumah ibadat itu menggunakan wang daripada yuran penyelenggaraan penduduk.

Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 menafikan dakwaan tersebut dengan memaklumkan segala kos operasi berkaitan pengurusan surau menggunakan wang sumbangan orang ramai.

Artikel Lain