suria

Wanita halau pakcik sedang iktikaf dalam surau, ungkit penduduk bayar bil utiliti

Seorang lelaki diminta keluar dari surau dengan alasan bukan penduduk di kawasan berkenaan.

TINDAKAN seorang wanita menghalau jemaah yang sedang beiktikaf dengan membaca al-Quran di dalam sebuah surau mengundang kemarahan ramai.

Menerusi video tular [Tonton Video] kejadian itu berlaku di Musolla Halaman 11 yang terletak di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor.

"Pakcik... minta maaf saya nak tanya. Pakcik buat apa dekat sini?

"Pakcik penduduk sini ke? Minta maaf ya tak boleh (beriktikaf dalam surau) sebab semalam kita ada kes kecurian, jadi selepas solat Subuh pakcik boleh beredar.

"Ini bukan hukuman tetapi ini adalah hak penduduk, mereka bayar bil penyelenggaraan," kata wanita tersebut.

Wanita itu turut memaklumkan kepada lelaki berkenaan bahawa dia boleh datang untuk solat berjemaah di lain-lain waktu, namun tidak dibenarkan berada di surau selepas selesai solat.

Sebelum lelaki itu beredar, wanita berkenaan turut memintanya mematikan suis lampu.

Susulan itu pihak pentadbir dan ahli jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 tampil menyatakan pendirian mereka tentang insiden berkenaan.

Tegasnya tindakan menghalau seorang individu daripada menggunakan fasiliti surau seperti yang tular di media sosial bukan dibuat pihak mereka.

Dalam kenyataan yang diberikan kepada mStar, insiden tersebut amat dikesali dan mendapat tentangan keras daripada pihak pengurusan surau

"Untuk makluman, pihak AJK telah berjumpa dengan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) bagi menyelesaikan keadaan.

"Pendirian kami jelas, musolla boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar. Tindakan untuk kunci Musolla sama sekali tidak akan berlaku.

"Selain itu, bil api dan bil air adalah atas tanggungan musolla sendiri hasil dari infak orang awam," kata kenyataan tersebut.

AJK turut mengingatkan bahawa individu dari luar kawasan Halaman 11 perlu mematuhi prosedur keselamatan termasuk melepasi palang keselamatan untuk memasuki kawasan tersebut.

"Ayuh sebarkan kebaikan dan sama-sama menjaga keharmonian. Jika ada sebarang persoalan boleh terus berhubung dengan AJK," katanya.

 

Artikel Lain