SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Hulu Langat, Kampung Sungai Semungkis, Selangor pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian pukul 2.32 pagi itu, Proton Saga dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar lori lima tan jenis Hicom.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Penguasa Bomba Kanan I Muhamad Roduan Sudin, pihaknya bergegas sejurus menerima panggilan kecemasan dan tiba pada pukul 2.48 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua mangsa. Seorang mangsa, iaitu pemandu berusia 19 tahun, mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, penumpang hadapan berusia 16 tahun yang tersepit di tempat duduk berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn.


