KUNJUNGAN tetamu yang ramai sejak 9 Jun lalu membuatkan keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman meminta sedikit ruang untuk mereka berehat seketika.
Susulan itu, mereka menyatakan tidak akan menerima tetamu selama empat hari bermula 2 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Ahmad Nazrul yang dipercayai kenalan rapat keluarga arwah.
"Pihak keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah tidak menerima tetamu bermula 2 Julai 2025 sehingga 5 Julai 2025.
"Rumah keluarganya juga ditutup kepada umum.
"Harap dapat kerjasama sepenuhnya. Terima kasih," tulisnya menerusi hantaran di Facebook sekitar pukul 8.34 malam, Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusara Nurly Shahirah jadi sasaran pengamal syirik, datang curi tanah kubur! Keluarga terpaksa pasang tali penghadang
Hantaran yang dibuatnya itu turut mendapat perhatian abang kepada arwah yang dikenali sebagai Najmuddin Azman.
Turut berkongsi hantaran tersebut, dia berharap masyarakat memahami situasi keluarganya pada ketika ini.
Malah kata pemuda itu, ibu dan bapanya juga tidak mendapat rehat sepenuhnya sejak arwah meninggal dunia, kira-kira 20 hari lalu.
"Bagi peluang umi dan abah saya berehat seketika.
"Daripada awal kematian sehingga sekarang tak rehat sepenuhnya. Insha-Allah ada rezeki boleh datang ziarah," luahnya di medium sama.
Pada petang Sabtu, keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah mengambil langkah memasang tali penghadang di pusara arwah Nurly Shahirah.
Tindakan itu dilakukan selepas terdapat dakwaan berlaku kegiatan khurafat dan syirik dengan mengambil tanah kuburnya bagi tujuan tertentu.
Untuk rekod, Allahyarhamah Nurly Shahirah merupakan salah seorang daripada 15 mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik di Perak pada 9 Jun lalu.


