suria

Percutian di Pulau Perhentian berakhir tragedi, 3 maut termasuk dua kanak-kanak... Pemandu bot positif dadah kini direman

Tiga mangsa maut dalam insiden bot terbalik di perairan Pulau Perhentian pada malam Sabtu. -Foto Bomba

DUA kanak-kanak merupakan antara tiga mangsa yang maut apabila sebuah bot pelancong terbalik dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian, Besut pada malam Sabtu.

Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, tiga mangsa yang maut adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 40 tahun.

Ujar Hamiludin, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melalui Pusat Penyelamat Maritim Kuantan (MRSC) pada pukul 10.55 malam, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat diaktifkan pada pukul 11.17 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden bot regata karam: Lima mayat mangsa ditemukan

"Setibanya di lokasi, semua mangsa telah diselamatkan oleh penduduk kampung yang bertindak pantas memberikan bantuan awal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, insiden itu melibatkan sembilan orang dewasa berusia antara 19 hingga 57 tahun, serta enam kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun.

Difahamkan ketika kejadian, bot yang dinaiki 15 individu itu hilang kawalan akibat ombak kuat dan cuaca buruk sewaktu dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, sebelum terbalik pada jarak 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.

Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Pelancong Besut menggunakan bot Maritim Penggalang 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ujar Hamiludin, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain mempertingkatkan aspek keselamatan pengangkutan laut.

Beliau dalam masa yang sama menyeru semua pengusaha bot pelancongan dan pengunjung agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan serta membuat semakan ramalan cuaca sebelum memulakan pelayaran, bagi mengelakkan insiden tidak diingini. 

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pemandu bot yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an direman bagi membantu siasatan.

Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Tambahnya lagi, siasatan awal turut mendapati kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian berlaku.

 

Artikel Lain