suria

Pekerja guna alasan dahaga, minta izin masuk rumah bos minum air... Rupanya senyap-senyap cabul budak 6 tahun!

Pelaku kes cabul didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -Gambar hiasan AI

SEORANG pembantu kedai makan berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencabul anak perempuan majikannya yang berusia enam tahun.

Tertuduh, Mahfuz Mahmud, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri pada Isnin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga duda lima anak itu didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan tersebut kira-kira pukul 11.25 pagi, 21 Jun lalu.

Mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh disabitkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih bola sepak menangis teresak-esak dituduh cabul dua pelatih

Difahamkan, ketika kejadian, tertuduh yang membantu bapa mangsa menjalankan perniagaan di hadapan rumah, memberitahu mahu masuk ke dalam rumah dengan alasan dahaga.

Bagaimanapun, dia didakwa mengunci pintu sehingga menimbulkan kecurigaan bapa mangsa.

Perbuatan tertuduh terbongkar apabila bapa mangsa memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbitnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azfar Mahmud menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan perlu menyara lima anak serta ibunya yang sudah lanjut usia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 29 Julai depan untuk sebutan semula kes. -The Star

 

Artikel Lain