SEORANG lelaki parah selepas terjatuh di landasan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya di Stesen Subang Alam dekat Seksyen 27, Shah Alam, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.07 pagi.
"Setibanya di lokasi, terdapat seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun telah terjatuh di bahagian landasan tren.
"Komander operasi memaklumkan orang awam menarik keluar lelaki itu dari landasan sebelum pasukan penyelamat tiba," katanya dalam kenyataan.
Mukhlis berkata, mangsa cedera parah di kepala dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberikan rawatan awal sementara menunggu ketibaan petugas dari Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan kejadian itu membabitkan seorang penumpang yang menceroboh kawasan landasan.
"Individu berkenaan disyaki cuba mencederakan diri sendiri dengan melompat masuk ke kawasan landasan ketika sebuah tren sedang menghampiri platform.
Mangsa berjaya diselamatkan, namun mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan berasingan.