suria

Polis Temerloh Tumpas Geng Pecah Kenderaan 'Along Wawa'

TEMERLOH: Polis Temerloh berjaya menumpaskan geng pecah kenderaan 'Along Wawa' dengan penahanan empat anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Kampung Megat Segama, Songsang di sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata kesemua mereka yang berumur antara 23 dan 29 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 5.45 pagi pada 23 Januari lepas hasil maklumat awam dan intipan polis.

Katanya ketika serbuan dilakukan, tiga lelaki itu berada di dapur rumah tersebut dipercayai sedang menghisap dadah manakala wanita berkenaan berada di ruang tamu.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan pecah kenderaan bernilai kira-kira RM60,000," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Menurutnya, antara barang ditemui ialah telefon bimbit, dompet dan komputer riba selain peralatan yang digunakan bagi melakukan aktiviti pecah rumah seperti tukul dan 'spark plug'.

Abdul Aziz berkata berikutan penahanan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lebih 60 kes pecah kenderaan yang berlaku di daerah ini dan Mentakab.

"Siasatan awal kita mendapati kumpulan ini telah aktif dalam jenayah itu sejak akhir 2013 dengan melakukan 60 pecah kenderaan di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab dengan mensasarkan kenderaan yang ditinggalkan di majlis perkahwinan.

"Kumpulan ini akan memerhatikan kenderaan yang mempunyai barangan berharga sebelum bertindak memecah cermin kenderaan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain