PENYANYI Ziana Zain, meluahkan rasa sedih selepas kehilangan kedua ibu bapanya dalam tempoh empat bulan.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, menyifatkan kehilangan kedua-dua insan tersayang dalam hidupnya memberi impak mendalam, terutamanya menjelang musim perayaan.
“Dalam tempoh empat bulan, kami kehilangan abah dan kemudian mak. Abah meninggal ketika Konsert Empat, mak pula ketika Konsert Sembilu.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan. Saya hanya mohon Allah kuatkan hati saya.

Ziana tidak dapat menahan sebak berkongsi cerita kehilangan ibu tercinta.
“Aidilfitri dan Ramada tahun depan, saya langsung tidak dapat membayangkan bagaimana mahu menyambutnya tanpa mereka,” katanya kepada mStar.
Bercerita lanjut, kata Ziana, perasaan kehilangan ibu tercinta Allahyarham Robiah Abdul pada malam Rabu masih sukar digambarkan dengan kata-kata, malah fikirannya juga terasa kosong.
Malah, penyanyi itu mengakui dirinya masih belum mampu membayangkan sambutan Aidilfitri tanpa kehadiran kedua-dua ibu bapanya.
“Otak terasa kosong. Nak fikir fasal raya pun tak mampu. Nak minta maaf dengan siapa lagi?
ARTIKEL BERKAITAN: Wajah ibu cantik dan tersenyum manis seperti sedang tidur, Anuar Zain kongsi kesihatan arwah merosot selepas bapa meninggal dunia Ogos lalu
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia
“Tinggal adik-beradik sahaja. Bila sampai masanya, kita kena kuat kerana giliran kita juga akan tiba.
“Perlu masa untuk pulih. Dalam tempoh empat bulan, kehilangan dua insan tersayang bukan perkara mudah. Namun itulah cinta hati mak, sehidup semati dengan abah,” jelasnya.
Walaupun perasaan duka masih menyelubungi hati, Ziana bersama adik-beradiknya reda menerima ketentuan Ilahi atas pemergian kedua-dua ibu bapa mereka.
Saya hanya mohon Allah kuatkan hati saya
ZIANA ZAIN
PENYANYI
Tambah Ziana, dia dan adik-beradik berusaha melakukan yang terbaik dalam menjaga arwah ibu dan bapanya ketika mereka diuji dengan kesakitan.
“Kami reda. Alhamdulillah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mak dan abah, ditempatkan bersama orang-orang beriman.
“Walaupun kini kami adik-beradik yatim piatu, kami bersyukur kerana diberi peluang menjaga mak dan abah ketika mereka sakit.

Gambar kenangan Ziana bersama anak-anak dan arwah ibu bapanya.
“Kami telah lakukan yang terbaik untuk kedua-duanya. Itu membuatkan kami tidak rasa terkilan. Alhamdulillah,” ujarnya.
Untuk rekod, Allahyarham Robiah Abdul menghembuskan nafas terakhir pada malam Rabu akibat kanser hati.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam kira-kira jam 11 pagi Khamis, disaksikan ahli keluarga terdekat serta beberapa kenalan rapat.
Bapa kepada Ziana, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, 87, meninggal dunia pada 3.32 petang, 26 Ogos lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


