PENYANYI Ziana Zain menyifatkan kedua ibu bapanya iaitu Zain@Zin Abdullah dan Robiah Abdul yang meninggal dunia dalam tempoh singkat pada tahun ini sebagai pasangan sehidup semati.
Menurut Ziana, kisah hidup ibu bapanya umpama filem cinta kerana sudah 58 tahun hidup bersama.
“Mungkin sebab arwah emak sedih dan kemurungan selepas abah pergi, jadi penyakit kanser yang dihidapi lagi cepat menyerang.

Ziana kenang memori hidup bersama arwah ibunya.
“Mereka dah berkahwin selama 58 tahun sejak umur emak 16 tahun. Jadi arwah abah itu adalah segala-galanya buat mak kerana itulah dunia dia.
“Bila tengok kisah hidup emak dengan abah, saya rasa seperti menonton filem cinta. Inilah yang orang katakan sehidup semati dan cinta abadi. Tak banyak pasangan ada cinta seperti itu,” katanya kepada mStar.
Selepas pemergian bapanya pada Ogos lalu, Ziana mendedahkan ibunya cuba menyembunyikan kesedihan, namun jelas kelihatan arwah ibunya itu berada dalam fasa terendah dalam hidupnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hilang ibu, ayah dalam tempoh empat bulan, Ziana Zain tiada tempat bersandar… “Nak minta maaf dengan siapa raya nanti?”
ARTIKEL BERKAITAN: Anuar menangis, Ziana Zain sugul… Jenazah ibu selamat dikebumikan
“Emak memang pernah cakap dia dah tak ada apa selepas abah pergi, sementara kami adik-beradik pula dah ada kehidupan masing-masing bersama anak-anak dan pasangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ziana memberitahu ibunya tidak meminta apa-apa sebelum pergi, tetapi ada berpesan agar mereka mengebumikan jenazah berhampiran kediaman keluarga.
“Sebelum pergi, emak tak ada cakap apa-apa cuma ada berpesan sekiranya dia meninggal, mak minta kami kebumikan mak berhampiran dengan tempat tinggal kami. Mak kata jangan susah-susah bawa balik Melaka.

Kehilangan ibu bapa dalam tempoh singkat memberi kesan besar buat Ziana.
“Selain itu, mak juga berpesan supaya kami adik-beradik tidak berpecah. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Jadi saya cakap pada mak, insya-Allah saya akan cuba pegang kata-katanya itu,” jelasnya.
Untuk rekod, Allahyarham Robiah meninggal dunia pada malam Rabu selepas setahun disahkan menghidap kanser hati.
Robiah meninggalkan lima cahaya mata termasuk penyanyi, Anuar Zain, serta 13 cucu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


