suria

Wajah ibu cantik dan tersenyum manis seperti sedang tidur, Anuar Zain kongsi kesihatan arwah merosot selepas bapa meninggal dunia Ogos lalu

Dalam sedih, Anuar reda ibunya kini pergi buat selamanya.

PENYANYI Anuar Zain, berkongsi detik pilu pemergian ibunya, Allahyarham Robiah Abdul yang sudah setahun menghidap kanser hati.

Menurut Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 55, pada awalnya arwah menunjukkan tanda pemulihan, namun kesihatan mula merosot selepas pemergian suaminya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, empat bulan lalu.

“Mak sudah setahun menghidap sakit. Selepas itu kami buat rawatan dan semuanya berjalan baik. Kemudian abah pula meninggal dunia. Selepas pemergian abah, kami nampak kesihatan mak mula merosot.

Anuar berkongsi perjalanan terakhir ibunya sebelum meninggal dunia. 

“Kami tanya keadaan mak, dia kata okay. Tetapi selepas itu dia mula sakit, batuk-batuk dan kelihatan semakin lemah. Keadaan itu berlarutan, jadi kami bawa mak ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati ada pelbagai perkara.

“Sebenarnya perjalanan hidup mak memang sudah ditentukan begitu. Ini adalah sesuatu yang perlu dilaluinya dengan izin Allah. Setiap yang berlaku ada sebabnya dan perjalanan itu sangat indah,” katanya kepada mStar.

Anuar berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam pada pagi Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Anuar menangis, Ziana Zain sugul… Jenazah ibu selamat dikebumikan 

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia

Anuar berkata ibunya meninggal dunia dalam keadaan tenang tanpa kesakitan, malah arwah juga sempat tersenyum ketika hayatnya di hujung nyawa.

Jelas Anuar, arwah juga seolah-olah memberi bayangan bahawa dirinya sudah reda untuk pergi buat selamanya.

“Mak meninggal dunia dengan satu nafas yang tenang, cepat dan tanpa kesakitan. Dia tersenyum. 

Sebenarnya perjalanan hidup mak memang sudah ditentukan begitu

ANUAR ZAIN 

PENYANYI 

“Di hospital kami nampak senyumannya dan apabila dibawa pulang ke rumah, senyumannya semakin lebar. Saya tidak pernah melihat jenazah yang tersenyum sehingga nampak giginya.

“Saya rasa mak sudah benar-benar reda. Kami selalu bisikkan kepadanya supaya tidak risau kerana anak-anak dan cucu-cucu semuanya dalam keadaan baik. Kami minta mak bertenang sahaja,” jelasnya.

Tambah Anuar, pemergian Allahyarham ibunya memberi satu pengalaman yang sangat menyentuh hati.

Pemergian ibu tercinta satu kehilangan besar buat Anuar dan Ziana. 

“Semuanya indah dan tenang. Ramai terkejut melihat wajah mak yang cantik, tersenyum manis seperti sedang tidur. 

“Sama seperti arwah abah dahulu, melihat mak begitu membuatkan kami rasa lega dan sangat bersyukur kepada Allah SWT.

“Kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Tuhan sentiasa menyayangi kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik,” ujarnya.

Untuk rekod, Allahyarham Robiah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam kira-kira jam 11 pagi Khamis, disaksikan ahli keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia