suria

Hati-hati wahai perokok... Pusat beli-belah pasang pintu kaca boleh bertukar jadi lutsinar dalam tandas jika terkena asap

Pusat beli-belah memperkenal kaedah pintu tandas bertukar lutsinar apabila mengesan asap rokok. -Gambar Douyin

DUA pusat beli-belah terkenal memperkenalkan teknologi inovatif pada pintu tandas lelaki yang bertukar menjadi lutsinar apabila ia mengesan asap rokok.

Teknologi khas itu menggunakan kaca yang biasanya tidak lutsinar, tetapi akan menjadi sebaliknya untuk beberapa saat selepas kehadiran asap dikesan.

Langkah ini bertujuan memastikan pengunjung tandas yang merokok didedahkan.

Bagaimanapun sebagai langkah pencegahan, amaran tentang hal berkenaan turut tertera di pintu tandas.

Dua pusat beli-belah tersebut adalah di Shenzhen, China iaitu Shuibei International Centre dan Shuibei Jinzuo Building.

Sebelum ini, pusat beli-belah berkenaan sering menerima aduan mengenai pengunjung merokok dalam tandas, dan kaedah tradisional seperti papan tanda larangan atau denda kecil terbukti kurang berkesan.

Seorang pekerja Jinzuo, Zhao berkata pintu kaca itu mula diuji sejak Ogos dan menerima maklum balas positif daripada peniaga dan pengunjung.

Pusat beli-belah juga mengambil langkah untuk mengurangkan risiko pelanggaran privasi, termasuk menyesuaikan sensor asap agar hanya dipicu oleh asap dan memasang butang reset sekiranya sensor tersilap aktif.

Walaupun mendapat pujian netizen, terdapat juga kebimbangan mengenai privasi pengguna. 

Pakar undang-undang di Guangdong menegaskan bahawa jika teknologi ini melanggar hak privasi, pusat beli-belah perlu bertanggungjawab secara undang-undang. 

Kos pemasangan teknologi itu bagaimana pun tidak didedahkan.

Teknologi itu disambut baik oleh ramai netizen yang berharap ia dapat diperluaskan ke seluruh China, terutama kerana masalah pengunjung merokok di tandas awam sering berlaku.

Shenzhen terus mencatatkan sebagai salah satu bandar paling inovatif di China dalam usaha menangani isu merokok di tempat awam. -Agensi

Artikel Lain