SEORANG wanita meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya selepas berulang kali menerima bungkusan yang mengandungi mesej tulisan tangan berunsur godaan, dipercayai ditulis pekerja syarikat penghantaran.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya, di mana wanita berkenaan mempersoalkan kewajaran tingkah laku tersebut dan menyifatkannya sebagai satu bentuk gangguan serta ancaman keselamatan.
Menurutnya yang menetap di Bangkok, Thailand, itu bukan kejadian pertama, sebaliknya berulang kali walaupun bungkusan dihantar individu berbeza.
Dalam catatannya, wanita itu berkata dia cuba menghubungi syarikat penghantaran untuk membuat aduan namun gagal pada peringkat awal.
Pemerhatiannya mendapati walaupun pekerja penghantaran merupakan individu berbeza, tulisan tangan pada setiap mesej tersebut kelihatan serupa.
Tambahnya lagi, kebiasaannya bungkusan akan ditinggalkan di hadapan rumah selepas pekerja penghantaran menghubunginya melalui telefon, tanpa sebarang pertemuan secara bersemuka.
"Saya tidak pernah keluar untuk ambil. Tetapi hari ini saya keluar sendiri. Apabila melihat terdapat tulisan di atasnya, saya hubungi pekerja penghantaran pertama yang buat penghantaran sebelum ini dan dia memberitahu bahawa rakannya yang tulis.
"Situasi ini sungguh teruk. Apa yang perlu saya lakukan? Saya langsung tidak boleh buat apa-apa," tulisnya.
Bagaimanapun, dalam perkongsian terbaru, wanita itu memaklumkan bahawa syarikat penghantaran yang terlibat telah menghubunginya secara peribadi selepas hantarannya tular.
Syarikat berkenaan dilaporkan memohon maaf atas kejadian itu dan mengeluarkan amaran kepada pekerja penghantaran yang terlibat.
Wanita itu turut merakamkan penghargaan di atas tindakan pantas syarikat berkenaan dalam menangani aduannya dan berharap insiden seumpama itu tidak akan berulang. -Agensi


