SEORANG lelaki berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati menipu syarikat insurans dengan menggunakan sijil perubatan palsu.
Bagaimanapun, sijil yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI) ChatGPT itu membuatkan dia mendapat pampasan beberapa kali sejak Julai 2024.
Kejadian dilaporkan berlaku di Busan, Korea Selatan.
Hukuman tersebut diputuskan oleh Mahkamah Daerah Busan pada Rabu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa atas kesalahan melanggar Akta Khas Pencegahan Penipuan Insurans.
Menurut pihak pendakwaan, tertuduh didakwa menerima 150 juta won (RM417,774) sebanyak 11 kali dalam tempoh setahun bermula Julai 2024 dengan menggunakan sijil perubatan palsu yang dihasilkan ChatGPT.
Tertuduh mengambil gambar pengesahan rawatan pesakit dalam dan luar hospital di Busan, kemudian memuat naiknya ke ChatGPT sambil meminta tempoh kemasukan dan keluar hospital dipanjangkan.
Hasilnya, ChatGPT menghasilkan dokumen palsu yang menunjukkan dia dimasukkan ke hospital kerana pengsan dan pening berulang.
Selain itu, tertutuh turut menipu menggunakan dokumen palsu dengan mendakwa seorang kenalannya cedera semasa bermain bola sepak untuk menuntut wang insurans.
Ketua Hakim Shim Jae-nam berkata, mahkamah mengambil kira sifat buruk jenayah termasuk menipu syarikat insurans.
Dalam pada itu, pihak sektor kewangan bimbang jenayah menggunakan AI akan meningkat. -Agensi


