PERTENGKARAN melibatkan bekas pasangan suami isteri berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut selepas diserang menggunakan senjata tajam.
Kejadian dilaporkan berlaku di Langkat, Sumatera Utara, Indonesia.
Dalam insiden yang berlaku di Dusun VII Air Panas, Kampung Buluh Telang, pada petang Isnin, mangsa dikenali sebagai Prawoto, 43, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Langkat, AKP Ghulam Yanuar Lutfi berkata, suspek kejadian merupakan bekas abang ipar mangsa yang dikenali sebagai Agus Salim, 53.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila bekas isteri suspek, Prastiani, meminta mangsa datang ke rumah ibu bapa mereka yang terletak kira-kira tiga buah rumah dari lokasi kejadian.
"Wanita terbabit ada memaklumkan kepada mangsa bahawa suspek berada di beranda rumah dan datang membawa senjata tajam termasuk parang, kapak dan tukul besi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mangsa kemudian pergi ke rumah berkenaan sebelum tercetus pertengkaran yang berakhir dengan suspek mengayunkan senjata tajam ke arah mangsa.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami luka serius di bahagian kiri leher yang menyebabkan pendarahan teruk sebelum disahkan meninggal dunia," jelasnya.
Siasatan awal mendapati konflik tersebut dipercayai berpunca daripada pertikaian berpanjangan antara suspek dan bekas isterinya berkaitan pembahagian harta sepencarian.
"Berdasarkan keterangan saksi dan ahli keluarga, suspek sering mengugut bekas isterinya berhubung isu pembahagian harta yang dianggap tidak adil," katanya.
Tambah Ghulam, bekas isteri suspek sudah berkahwin semula pada Oktober lalu dan sejak itu suspek kerap mengganggunya berkaitan perkara tersebut.
Dalam pada itu, suspek turut mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul penduduk setempat sebaik kejadian berlaku.
Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa. -Agensi


