SEBUAH sekolah menengah mencuri perhatian ramai apabila memilih pendekatan unik dalam menghargai pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Menurut laporan media tempatan, Sekolah Yucai Dachengbei di Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China memutuskan untuk tidak lagi menganugerahkan sijil merit tradisional berwarna merah.
Sebaliknya, pelajar dianugerahkan alas tidur yang memaparkan nama mereka bersama gelaran anugerah yang diterima.
Pelajar yang memperoleh jumlah markah keseluruhan dalam kedudukan lima teratas bagi gred mereka menerima sarung selimut yang direka khas.
Sementara itu, pelajar yang berada dalam kedudukan lima teratas bagi satu mata pelajaran pula dianugerahkan cadar.
Bagi pelajar yang menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah markah keseluruhan pula menerima bantal, manakala mereka yang mencapai kemajuan luar biasa dalam satu mata pelajaran diberikan selimut sebagai ganjaran.
Tiada had ditetapkan bagi bilangan anugerah yang boleh diterima oleh seseorang pelajar, menyebabkan ada antara mereka menerima lebih daripada satu jenis hadiah.
Menurut seorang guru di sekolah tersebut, Jiang Yan, kesemua anugerah khas itu direka oleh para guru sendiri sebagai tanda penghargaan yang lebih bermakna kepada pelajar.
Langkah yang diambil oleh sekolah tersebut mendapat pujian meluas daripada pengguna internet, yang menyifatkannya sebagai satu pendekatan kreatif dan memahami psikologi remaja.
Bagi ibu bapa pula, mereka menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai hadiah yang praktikal serta bermakna, sekali gus memberi kenangan istimewa kepada pelajar. -Agensi


