suria

Guru menangis sambil mohon maaf kepada ibu bapa, tak sangka murid cedera akibat tindakan disiplin

Guru itu membuat permohonan maaf dalam pertemuan dengan ibu bapa mangsa pada 22 Disember.

SEORANG guru memohon maaf kepada keluarga seorang murid lelaki selepas mengakui menetapkan hukuman terlalu keras atas kesalahan yang dilakukannya.

Dalam insiden pada 18 Disember lalu, seorang murid berusia 10 tahun mengalami keradangan tulang rusuk akibat dikasari oleh guru wanita berkenaan.

Guru terbabit yang bertugas di sebuah sekolah di wilayah Udon Thani, Thailand itu didakwa meletakkan lututnya atas perut mangsa sebelum menyepak kakinya.

Insiden berlaku selepas murid berkenaan menyembunyikan beg sekolah rakannya.

Kes tersebut mencetuskan perhatian selepas ibu mangsa memuat naik aduan di media sosial pada 21 Disember.

Dalam pertemuan dengan ibu bapa mangsa pada 22 Disember, guru itu mengakui tidak menyangka keadaan akan menjadi serius.

Dia yang menangis turut memohon maaf dan mengakui tindakan itu hanyalah hukuman disiplin ringan tanpa niat mencederakan mangsa.

Susulan pertemuan itu, keluarga mangsa bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, stesen televisyen CH7 melaporkan Pejabat Kawasan Perkhidmatan Pendidikan 1 merancang menubuhkan jawatankuasa disiplin bagi menyiasat kejadian tersebut. -Agensi

Artikel Lain