suria

Lelaki mengaku pegawai tentera laut eksploitasi wanita secara seksual, ugut sebar video intim

Mangsa eksploitasi cenderung mengalami trauma berpanjangan. -Gambar hiasan

SEORANG wanita dipercayai dieksploitasi secara seksual sehingga mengalami gangguan mental selepas lelaki yang menyamar sebagai pegawai Tentera Laut berjanji untuk berkahwin.

Bukan itu sahaja, lelaki terbabit turut mengugutnya untuk menyebarkan video peribadi mereka kepada umum.

Kejadian dilaporkan berlaku di Delhi, India.

Menurut pihak berkuasa, mereka menerima laporan daripada seorang wanita pada Ahad yang mendakwa da dieksploitasi dan diugut oleh seorang lelaki.

Berdasarkan siasatan, mangsa mengaku berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Md Jaseem menerusi laman web perkahwinan pada Februari lalu.

Suspek yang didakwa mengaku sebagai pegawai Tentera Laut kemudiannya mula mendapatkan kepercayaan mangsa melalui panggilan telefon, mesej dan interaksi dengan ahli keluarga mangsa.

Malah katanya, suspek berulang kali memberi jaminan untuk berkahwin dengan mangsa.

Mangsa yang mempercayai janji tersebut didakwa melakukan hubungan fizikal dengan suspek sepanjang tempoh September hingga Oktober 2025 di beberapa hotel di kawasan Paharganj.

Bukan itu sahaja, suspek didakwa pernah tinggal di rumah mangsa beberapa kali.

Bagaimanapun, pada November 2025, mangsa mendakwa dihubungi seorang wanita dari Dubai yang menyatakan dia telah menjalinkan hubungan jangka panjang dengan suspek dan bakal berkahwin.

Namun suspek menafikan perkara tersebut dengan mengugut untuk menyalahgunakan video peribadinya.

Ugutan yang diberikan menyebabkan mangsa mengalami trauma mental dan kebimbangan melampau.

Kes disiasat dan mangsa dihantar ke Hospital Lady Hardinge untuk pemeriksaan perubatan. -Agensi

Artikel Lain