suria

Tersinggung asyik dengar suara ketawa, lelaki tetak dua beranak hingga maut… Suspek rasa tak dihormari

Pembunuhan adalah satu kesalahan. -Gambar hiasan

 

HANYA kerana tersinggung mendengar ketawa jiran, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyerang dua beranak hingga maut.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 18 Disember lalu sekitar pukul 8 malam di Banggai, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Berdasarkan laporan, suspek berusia 33 tahun itu dipercayai bertindak di luar kawalan sehingga mengorbankan dua ahli keluarga jirannya.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banggai, AKP Tio Tondy berkata, mangsa pertama yang berusia 63 tahun dilaporkan maut selepas ditetak berulang kali menggunakan sebilah parang ketika berada di hadapan rumah suspek.

Ujarnya, tindakan itu berikutan suspek berasa tersinggung apabila mangsa sering ketawa terbahak-bahak di hadapan rumahnya.

"Tingkah laku mangsa yang kerap ketawa kuat itu membuatkan suspek berasa tidak dihormati," katanya pada Ahad.

Ujarnya, suspek kemudian secara spontan mencapai sebilah parang sebelum menyerang mangsa pertama sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Luwuk.

"Pada Jumaat sekitar pukul 1 pagi, anak saudara mangsa yang berusia 37 tahun mencari suspek dengan bersenjatakan parang.

"Pergaduhan yang berlaku membuatkan mangsa kedua terjatuh dan terus diserang suspek hingga maut," ujarnya sambil menambah mangsa terjatuh di masjid kampung tersebut.

Tambah Tio, suspek kemudiannya melarikan diri namun berjaya ditahan polis tidak lama kemudian.

Dia kini disiasat dan didakwa mengikut Perkara 340 Kanun Jenayah Indonesia berkaitan pembunuhan berencana, selain Perkara 338 dan Perkara 351 perenggan (3) Kanun Jenayah Indonesia. -Agensi

Artikel Lain